Skip to main content

Magika Mimpi (Pt 2)


          Lachesisma karya asli U.K.E.Y.

                                          


          “Katakanlah: Taatlah kepada Allah dan Rasul, jika kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul itu hanyalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajipan kamu hanyalah apa yang dibebankan kepadamu. Jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Kewajipan Rasul hanyalah menyampaikan amanat Allah dengan jelas.”

                                                                                      (An-Nur : 55)

Hanne berjalan menyusuri padang yang penuh dengan lalang yang berwarna kekuningan itu tanpa sebarang hentian. Kakinya yang dari tadi berjalan dan cuma berhenti untuk memamah seketul bun serta air bagi menghilangkan rasa dahaga, terasa sengal dan lenguh. Bahagian belakangnya yang menggalas beg hiking juga terasa seperti tidak mampu lagi untuk meneruskan perjalanan.

          Namun, langkah tetap juga diteruskan. Hanne pasti, dia akan berjumpa sebuah kawasan perkampungan di hujung padang itu. Berdasarkan peta yang dibaca tadi, terdapat sebuah kawasan yang terletak jauh dari orang ramai. Dia cuba bersangka baik walaupun sudah hampir dua jam dia masih tersesat di dalam padang yang dipenuhi dengan lalang yang tumbuh tinggi.

          Kriukkk.

          Perutnya berbunyi. Dia segera menekan-nekan perutnya seolah meminta untuk bersabar kerana stok makanannya sudah habis. Tetapi, dia juga tidak tahu sampai bila dia harus bersabar dan berfikiran positif. Hari juga hampir senja dan sehingga kini masih tiada sebarang tanda yang dia akan berjumpa dengan jalan keluar.

          Kakinya terusnya diorak langkah ketika fikirannya sudah buntu dan hampir berputus asa.

          Ketika dia berjalan tanpa arah tuju, kakinya tersepak sebuah besi kontena sebesar kotak kasut lalu tersadung dan tersembam ke atas tanah rata. Mengaduh jugalah dia buat seketika menahan sakit.

          “Sakit?”

          Hanne menangkap sebuah bayang yang cuba tunduk lalu menghulurkan tangan untuk membantu dia yang terjatuh. Perlahan-lahan Hanne menyambut tangan pemuda berjambang itu.

          “Buat apa dekat sini?” soal pemuda itu setelah Hanne bangkit berdiri sepenuhnya.

          “Err, saya dari program hiking. Tapi, saya tersesat.” Balas Hanne dengan suara serak-serak basahnya. Dia seperti mahu menangis kerana akhirnya ada juga manusia lain di kawasan itu. Rasa kini lebih selamat berbanding tadi, walaupun dia tidak kenal siapakah manusia yang berdiri di hadapannya itu.

          Pemuda itu mengangguk-angguk kecil dengan raut wajah yang berkata ohhh.

          “Kumpulan awak tak ada cari awak, ke?” soalnya lagi.

          Buat seketika, Hanne terkedu. Bagaimana pemuda itu tahu dia datang berkumpulan? Oh ya, program. Hanne mencela kebodohannya sendiri.

          “Tak tahu.”

          Pemuda itu melirik Hanne atas bawah sebelum dia kembali bersuara.

          “Rasanya awak ni, perlukan tempat berteduh.” Katanya.

          Hanne yang tadinya hanyut seketika tidak dapat menangkap kata-kata pemuda itu.

          “Hah?” soalnya seperti orang dungu. Itulah, melangut lagi.

          Dia tersenyum nipis. “Lapar? Jom ke tempat saya. Awak boleh bersihkan diri awak sekali.” Sambungnya kemudian melangkah ke depan terlebih dahulu dari Hanne. Kemudian gadis itu membuntutinya dengan langkah yang perlahan akibat kakinya yang masih terasa sakit.

          Mereka berjalan sehingga sampai ke sebuah rumah batu yang bersaiz sederhana. Itulah tempat pemuda itu.

          “Masuklah.” Ujar pemuda tersebut sesudah membuka pintu rumahnya.

          Lalu, Hanne pun melangkah masuk tanpa memikirkan apa-apa lagi. Dia sesungguhnya mahu berehat di tempat sebegitu buat masa ini. Penat!

          Dia mengambil tempat di atas sofa coklat yang terletak di ruang rehat. Teksturnya terasa empuk walaupun sudah rabak dan compang-camping.

          “Saya pergi siapkan air mandi. Awak tunggu kejap.” Ujar lelaki itu lagi sebelum pergi menuju ke bahagian hujung dapur.

          Tiba-tiba Hanne bangun berdiri. “Tunggu!”

          Pemuda itu berhenti melangkah dan berpusing tubuh ke arah Hanne. “Kenapa?”

          “Apa nama awak? Saya, Hanne.”

            Ketawa kecil yang terhambur keluar dari mulut lelaki itu hilang ditenggelami dengan nafasnya yang berat. “Lutfi.” Kemudian tanpa menunggu Hanne untuk membuka mulut lagi, dia kembali meneruskan langkah.

          “Oh, okay. Lutfi.” Hanne berkata seorang diri dan melabuhkan punggungnya semula ke atas sofa.

          Beg hikingnya diletakkan di bawah kaki dan perlahan-lahan dia melentokkan kepala dibahagian pemegang tangan sofa untuk melelapkan mata. Matanya juga perlukan waktu rehat. Tak lama kemudian, dia benar-benar tertidur.



          Sudah dua hari dia menumpang di rumah Lutfi, dan sudah dua hari juga lah dia tidak bertemu dengan kawanannya. Di dalam hati sudah berkata-kata bahawa dia sudah dilupakan manusia yang bergelar kawannya. Hendak dihubungi, talian juga tiada.

          Maka, dua hari itu juga dia banyak meluangkan masa bersama Lutfi. Hari ini, Lutfi membawanya pergi menyinggah di kawasan orang kampung di situ. Rumah Lutfi terletak jauh dari sana, jadi mereka berdua menaiki basikal yang dikayuh Lutfi. Apa yang Hanne sukakan adalah, bau udara kawasan itu yang dipenuhi dengan hidupan hijau dan bagaiman bayu padang lalang menampar-nampar pipinya ketika dia membonceng basikal Lutfi.

          Di kampung itu, dia banyak berkongsi cerita tentang dia kepada Lutfi. Kegemarannya, pekerjaannya dan asal-usul juga diberitahukan kepada Lutfi. Apa yang dia hairan hingga ke saat itu, adalah Lutfi. Pemuda yang nampak tua kerana jambang itu, langsung tidak pernah membuka mulut perihal dia dan itu membuatkan Lutfi sedikit misteri di mata Hanne.

          Cuma apa yang tidak misteri yang Hanne dapati ada pada seorang Lutfi, adalah Lutfi seorang yang berjiwa seni dan tenang. Tidak gelojoh seperti Hanne yang makan berselerak kerana mengejar masa. Tidak sekabut Hanne yang bercakap jauh tersesat lari dari tujuan asal.

          “Nah.” Lutfi menghulurkan sebatang lidi yang bercucuk sosej salai madu kepada Hanne yang sedang duduk berehat di sebuah bangku kayu panjang. Sebelum itu, Hanne sekadar membuang pandang ke arah orang ramai yang lalu-lalang di hadapannya sementara menunggu Lutfi membeli sesuatu.

          Hanne mengangkat muka dan tersenyum ke arah Lutfi. Tangan kanannya menyambut pemberian Lutfi. “Terima kasih.” Ujarnya sebelum membaca bismillah lalu batang lidi sosej itu dibawa ke mulut.

          Lutfi melabuhkan punggungnya di sebelah Hanne. Dia turut menjamah makanannya seperti gadis di sebelah. “Hanne.”

          “Hm?” sahut Hanne ringkas sambil menanti kata lanjut dari mulut Lutfi.

          “Jangan balik.” Sambung Lutfi kemudian dia memalingkan wajahnya ke arah Hanne di sisi kirinya.

          Hanne terhenti dari mengunyah. Dia juga memalingkan wajahnya ke arah Lutfi. Kini, mereka saling berpandangan. “Huh?” Dadanya berdebar semacam. Lidi sosejnya dijauhkan dari muka.

          Tiba-tiba, mata Lutfi berkaca. “Awak dah nak pergi?”

          Hanne tersenyum bersahaja. Hmm, dia mengangguk perlahan sebelum menitip pesan.“Jangan kerana lalainya awak bahawa kewujudan sejagat manusia untuk menyembah Dia, awak berkeputusan untuk membunuh diri awak sendiri.”

Tup. Mata Hanne terkatup rapat. Itu merupakan kata-kata terakhir Hanne untuk Lutfi.




          Apabila Lutfi membuka matanya dan tersedar dari tidur, siling kosong menjadi santapan pandangan yang pertamanya pada hari itu. Dia mengerdip-ngerdipkan matanya yang pincing akibat tidur sebelum bangkit duduk dengan kaki yang setia terlunjur.

          “Uhhh...” Dia mengeluh panjang sambil meraup wajahnya berkali-kali. Selepas itu, kepalanya dialihkan ke arah jam digitalnya yang diletakkan bersebelahan katil.
          9.15 a.m.

          Dia mengembalikan posisi kepala kedepan dan segera badannya diliuk-liuk bagi membetulkan segala urat serta sendi. Kedua-dua tangannya dibawa dan ditolak ke atas. Puas menggeliat, tangannya dijatuhkan semula.

          ‘Hari ini hari terakhir.’ Getus dia sendirian.

          Lutfi turun dari katil dan langkahnya dituju ke bilik mandi bersama tuala di atas bahu. Dia berdiri di hadapan cermin di dinding bilik mandi.

          Tangannya meraba-raba kawasan sekeliling pipinya yang ditumbuhi jambang lebat.

          ‘Nampak tua. Baik aku cukur sebelum balik ni.’

          Dia menutup pintu bilik air dan mencapai sebuah razor dan krim shaving. Sedikit demi sedikit bulu-bulu itu jatuh berguguran ke atas lantai.




          Lutfi mencapai sehelai jaket miliknya yang tersadai di atas sofa lalu disumbat masuk ke dalam bagasi. Dia kemudiannya terhenti sejenak. Matanya teralih semula ke arah sofa itu.

          Gambaran seorang wanita lingkungan usianya sedang terbaring dan tertidur di atas sofa itu, sedang mengganggu fikiran dia yang dari tadi dia cuba kosongkan. Namun, setelah banyak kali dia cuba untuk tidak mengingati wajah itu, tetap juga wajah tersebut datang mengetuk memori.

          Lutfi segera menarik nafas dalam. Dia sudah bertekad untuk memulakan hidup yang baru. Dia sudah bertekad untuk tidak lagi berputus asa dan mula berfikiran positif. Dia mahu percaya dan punya setia dengan takdir Tuhan.

          ‘Bismillah, bantu aku, ya Allah.’

          Dia bergerak ke luar rumah tersebut bersama bagasi yang ditarik di tangan.

-


          Pulang sahaja dia dari pejabat, hujan mula turun dengan lebatnya. Kilat juga mula sambar-menyambar di dada langit yang berarak dengak awan mendung. Petang itu, kota raya Ipoh basah dengan rahmat dari Tuhan.

          Sengaja Lutfi cabut awal dari pejabat. Semuanya demi mengelakkan diri dari bercampur dengan rakan sekerja yang giat mahu ke pusat karaoke. Kalau menyanyi dan buat hal sendiri-sendiri tidak apa. Yang jadi masalahnya apabila soal peribadi Lutfi jadi subjek matter utama perbualan mereka.

          “Kau dah boleh move on ke dari Emilia?”

          “Keluarga dia okey? Kau ada lawat dorang ke?”

          “Haritu lama jugak kau menghilang. Pergi mengubat hati yang lara eh?”

          Ah. Kusut kepalanya hanya memikirkan soalan-soalan dari mereka yang merupakan wartawan wannabe.

          Dia akui, memang dia mengambil masa untuk melupakan arwah buah hati, Emilia, tetapi keberangkatannya ke luar kota bukannya semata untuk berganjak dari terus meratapi, tetapi untuk kembali kepada fitrah seorang manusia iaitu kembali kepada Tuhan.

          Setelah agak sebulan Emilia pergi buat selama-lamanya,dia masih tidak boleh melupakan saat-saat manis dan bahagia ketika dia bersama gadis itu. Hidupnya hilang arah tuju. Hari-harinya dihabiskan dengan linangan air mata sampai matanya bengkak. Kerjanya di rumah dan pejabat menjadi tertunggak. Pelbagai kewajipan lagi telah dia abaikan sepanjang proses dia menerima ketentuan yang pahit itu. Kerana perginya Emilia bermakna separuh dirinya turut pergi. Hatinya dibawa pergi bersama kematian Emilia yang dia cinta separuh mati.

          Tetapi, dia gagahkan juga untuk menyembah Tuhan walau pada ketika itu hatinya kecewa dengan aturan si Dia. Dan entah bagaimana pada suatu hari dia terdetik untuk membawa diri jauh dari kesibukan buat sementara waktu. Dia mahu mengubat hatinya yang terasa kosong dan sakit.

          Sepanjang dia berada di perkampungan di hujung daerah negeri Perak, dia masih lagi belum habis kebah meratapi takdirnya. Semuanya terasa sukar untuk diterima. Sehinggakan dia pernah mencuba untuk mengambil nyawanya sendiri. Dia mahu dilanggar oleh apa-apa jenis kenderaan dan mahu juga dipanah petir. Dia mahu nyawanya segera diambil dan lebih rela takdirnya terhenti di situ daripada menanggung seksanya rindu.

          Sehinggalah pada suatu malam dia tertidur dan terdengar sesuatu bisikan. Bisikan yang mengatakan bahawa dia seorang yang kufur dan lalai. Esoknya dia terjaga sambil memikirkan kata-kata itu sehingga dia kembali tidur semula.

          Malam kedua, dia bermimpi pula. Mimpinya didatangi seorang wanita bernama Hanne.

          “Jangan kerana lalainya awak bahawa kewujudan sejagat manusia untuk menyembah Dia, awak berkeputusan untuk membunuh diri awak sendiri.”

          Kata-kata gadis yang muncul dalam mimpinya itu, masih segar dalam ingatan dia. Lutfi sekadar bersangka yang Tuhan hantarkan seseorang entiti berupa manusia untuk memperingatinya lalu Lutfi berkeputusan untuk bangkit. Bangkit semula dari sebuah kejatuhan.

          Apa yang dia faham dari kata-kata Hanne dalam mimpi itu sebenarnya dimaksudkan untuk Lutfi yang benar-benar alpa. Lutfi lupa yang pada hakikinya Tuhan iaitu Allah, menciptakan alam sejagat ini termasuklah manusia dan jin untuk menyembahnya. Allah itu pencipta dan merupakan Tuhan yang patut makhluk ciptaannya sembah. Kita sebagai manusia dan hamba dina, selayaknya hanyalah mengikut perintah Dia dan menerima ketentuanNya seadanya. Walau pahit dan walau sakit, berusahalah untuk menerimanya dengan dada yang lapang. Kerana itulah tujuan utama Dia mengadakan ciptaan-ciptaan di atas muka bumi ini. Dia bentuk dengan citarasanya kerana adanya ilmu Dia yang maha infiniti.

          Akhirnya Lutfi sedar bahawa hidupnya adalah sebagai ciptaan Tuhan, bukan sebagai seorang Lutfi semata-mata. Hidupnya, ibadahnya, dan matinya untuk Allah yang satu. Disebabkan kesedaran itu, Lutfi bergegas untuk pulang semula dan tekad untuk menunaikan tanggungjawabnya yang tergendala dan tersedia.

          Bunyi rintikan peluru hujan yang tadinya bising kini menjadi perlahan, segera menghenyakkan lamunan Lutfi yang sedang duduk di atas kerusi dapur. Dia kemudiannya bangun menolak kerusi ke belakang dan menapak ke hujung ruang tamu di mana terdapat sliding door yang menemukan ruang tamu dengan balkoni luar.

          Perlahan-lahan tangannya membuka sliding door. Udara yang masih lembap dengan titisan hujan tadi dihirup masuk ke rongga hidung. Buat sejenak waktu, fikirannya kembali menerawang, memikirkan sesuatu.

          ‘Kalau Hanne merupakan seorang manusia dan betul-betul wujud seiring dengan waktu, Kau izinkan lah aku untuk bertemu dengan dia.’ doanya dalam hati sambil bibirnya mengukir senyum senang.



          Restoran McD yang tadinya dipenuhi dengan manusia pelbagai bangsa, kini sudah semakin surut seperti hujan yang tadinya lebat.

          Hanne mengelap permukaan meja yang baru ditinggalkan sepasang kekasih yang merupakan pelanggan. Sempat Hanne menjeling langkah si awek yang seperti dibuat-buat sahaja lenggoknya.

          Selesai mengemas di meja sekeliling itu, Hanne segera menapak ke bahagian dalam restoran. Matanya meliar mencari meja-meja yang kosong dan perlu dibersihkan. Setelah memastikan tiada meja yang perlu dilap buat sementara waktu itu, dia kemudiannya bergerak ke arah pintu dapur. Kini, tugasnya beralih pula sebagai tukang ambil pesanan.

          “Alright, please wait for your order.” Dia tersenyum ke arah perempuan cina yang baru selesai memesan set McChicken dan ayam goreng. “Next!” Pelanggan seterusnya dipanggil.

          Matanya tak berkedip apabila sepasang mata yang jernih milik seorang pelanggan lelaki di hadapannya bertembung dengan mata dia.

          “Hmm... Order, encik?” Hanne gugup tiba-tiba.

          “Saya nak order hmm.. cik Hanne?” balas Lutfi dengan nada serius.

          Telapak tangan Hanne naik ke pipinya. Cuba merasakan kehangatan yang diundang customer itu. Kemudian, pipinya ditampar-tampar bagi mengingatkan dirinya tentang kerja. “Sorry. Not available. Order lain?”

          Lutfi menarik senyum segaris yang manis. “Set McChicken Deluxe 1. Ala carte.”

          “Air?” soal Hanne lagi sambil memasukkan pesanan ke dalam data. Bahang tadi sebenarnya masih terasa.

          “Pepsi.”

          “Alright, RM10.45.” Nota duit bertukar tangan. “Thank you. Please wait.” Ujar Hanne sambil tersenyum ringkas. “Next!”

          Tak lama lepas itu, Lutfi membawa dulang makanannya ke meja yang berdekatan dengan kaunter. Sambil dia menjamah selera, sambil itu juga dia mencuri curi melihat Hanne yang fokus bekerja.

          -

          Hanne menggeliatkan kepalanya bagi membetulkan sendi skru leher yang terasa longgar. Sesekali bahunya juga dipicit-picit.

          Shift kerjanya sudah tamat untuk hari itu.

          Hanne menggapai beg galasnya yang terletak di atas salah satu meja dan segera dibawakan ke bahagian belakang badannya.

          “K guys, thanks for today. Aku gerak dulu. Bye.” Ujarnya sebelum bergerak pergi.

          “Eh, Hanne! Tunggu jap weh!” panggil seseorang dengan nada lantang sambil mengejar langkah Hanne yang sudah keluar dari gudang makanan segera itu.

          “Nami? Ada apa?” soal Hanne. Dia statik di posisi dia berdiri sambil menunggu Nami, kawan sekerjanya  mendekati dia.

          “Nah ni. Aku lupa nak bagi tadi.” Nami menghulurkan sekeping kertas kecil yang dilipat petak.

          Dengan rasa tertanya-tanya, Hanne menyambut jua. “What is this?” Jari- jemarinya membuka lipatan kertas tersebut dengan perlahan.

                                      011-56743289- Shah Lutfi

          Berkerut kening Hanne setelah melihat nombor telefon yang ditinggalkan oleh mr. Shah Lutfi itu.

          “Admirer kau.” Usik Nami sambil tersengih-sengih.

          Hanne mendengus dan tersenyum sinis. “No way lah aku nak call. Kenal pun tak.”

          “Tu sebab aku bagi nombor kau bila dia mintak. K bye!” ujar Nami sebelum cabut lari.

          “Tak guna Nami!” jerit Hanne tak puas hati.

          I’ve been hearing symphonies
 Before all I heard was silence
A rhapsody for you and me

          Telefon bimbit miliknya yang terletak di dalam kocek seluar bergetar. Dia mengeluh perlahan sebelum mencapai telefon bimbitnya.

          011-56743289

          Itu nombor...

          Hanne mengangkat kertas kecil tadi lalu diletak ke tepi skrin telefonnya. Oh God!

          “Save my number.” Ujar seorang... eh, Lutfi, dengan nada perintah.

          “Saya tak kenal encik.” Balas Hanne, tegas.

          “Tahu. Tapi, saya kenal awak.”

          Hanne naik hairan. “Macam mana pulak?”

          Lutfi tersenyum sambil tertunduk memandang kasut yang tersarung di kaki. Tangannya dimasukkan ke dalam poket bomber.

          “Mimpi, I guess.”jawabnya. Dia mengangkat muka, memandang terus ke anak mata Hanne. “Awak datang dalam mimpi saya.” Dia tersenyum lagi.

          Hanne diam. Dia hairan tentang fakta yang dikongsikan lelaki itu.  Tetapi akhirnya dia tersenyum juga.

          “Awak Shah Lutfi. Saya, Hanne.”

          “Lutfi.” Lutfi memperkenalkan semula dirinya menggunakan nama kedua.

          “Oh, okay. Lutfi.” Ujar Hanne lagi sambil tersenyum.

          Tiba-tiba senyumannya memudar. Dia terasa seperti pernah melalui sesi perkenalan ini. Deja-vu?

-End-

          Kisah Magika Mimpi bahagian kedua dengan berjudulkan Lachesisma merupakan sebuah kisah tentang seorang pemuda bernama Shah Lutfi yang termimpi seorang gadis asing bernama Hanne ketika dia masih dalam episode duka.

          Cerita ini dimulakan dari sudut pandangan Hanne, tetapi sebenarnya berlaku di dalam mimpi Lutfi(hero), dan disudahi dengan pertemuan keduanya di alam nyata.

          Kisah ini bukan sekadar cerita cinta monyet antara budak ofis dengan pekerja McDonald semata, tetapi U.K.E.Y. ingin menyampai kepada audi bahawa terkadang Tuhan sampaikan hidayahnya melalui mimpi. Ya, mimpi yang secara tipikalnya dianggap satu permainan tidur yang tidak membawa sebarang makna juga boleh menjadi instrument mendekati Tuhan.

          Ambillah pengajaran yang ada dan jangan lupa untuk tinggalkan komen2 yang bermanfaat. Salam sejahtera dari U.K.E.Y.
          
          Bahagian ketiga, coming soon! Thanks for reading.
         
          Sebarang salinan atau perkongsian, sila kreditkan pada karya asal J

         
         *Lachesisma : Keinginan untuk dilanggar (cederakan diri sendiri atau mati)

Comments

  1. Nice story. Memberi impak. Btw blogwalking here. Boleh singgah and follow blog saya
    https://thepelbagaiblog.blogspot.my. Terima Kasih

    ReplyDelete

Post a Comment